Juara Bertahan Tumbang Di Tangan Ampang Jaya BC

CYBERJAYA (26 Disember 2018): Juara bertahan SS Purple League (SSPL), Kelab Badminton (BC) Puchong United menerima tamparan awal untuk mempertahankan kejuaraan musim ini setelah “dibedil” Ampang Jaya BC di Gem In Mall sebentar tadi.

Ampang Jaya BC yang dipimpin Ho Khek Mong tampil memberikan aksi sengit untuk menang 9-6 mengatasi juara SSPL musim lalu. Ini adalah kemenangan ketiga berturut-turut diraih Ampang Jaya selepas mereka menang ke atas Petaling BC dan Kepong BC sebelum ini.

Kento Momota menggamatkan penyokong yang hadir dengan menunjukkan persembahan bertenaga untuk memberikan mata pendahuluan buat pasukan Ampang Jaya BC. Bintang Jepun itu menang mudah ke atas Lee Cheuk Yiu dengan keputusan 3-0 (11-8, 11-4, 11-4).

Ampang Jaya BC terus melebarkan penguasaan dalam acara perseorangan wanita. Kali ini giliran pemain muda negara, Goh Jin Wei pula mempamerkan bisa dengan menundukkan pemain Puchong United BC yang juga rakan sepasukannya dalam skuad negara, Ho Yen Mei 3-0 (11-7, 11-7, 11-3).

Bagaimanapun Puchong United BC bangkit mengejar kedudukan menjadi 3-6 setelah mereka menguasai acara beregu lelaki. Gandingan Tan Boon Heong- Teo Ee Yi menang 3-0 (11-9 11-7 11-8) ke atas Lim Tze Jian- Lukhi Apri Nugroho.

Semangat selaku juara bertahan terus membara dalam pasukan Puchong United BC apabila mereka terus bangkit menyamakan kedudukan 6-6 dalam acara beregu campuran. Kali ini, gandingan Goh Liu Ying- Tang Chun Man menewaskan pasangan Ampang Jaya BC, Chan Peng Soon- Shevon Lai Jemie 3-

0 (11-9 11-9 11-10).

Ampang Jaya BC bagaimanapun melaungkan amaran kepada pasukan-pasukan lain musim ini apabila pemain perseorangan lelakinya, Tan Jia Wei mempamerkan aksi memukau untuk menafikan kebangkitan Puchong United. Dia menang 3-0 (11-5, 11-7, 11-7) menumbangkan Goh Giap Chin sekaligus memberikan kemenangan mutlak buat Ampang Jaya BC.

Pengurus Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong berkata, “Perlawanan tadi adalah satu perlawanan yang sungguh menarik dan pastinya menggembirakan pasukan kami kerana ini adalah kemenangan ketiga yang berjaya diraih. Kita menghadapi tiga aksi yang sangat getir di awal saingan SSPL musim ini.

“Mendapatkan tiga kemenangan ke atas pasukan- pasukan kuat ini (Kepong BC, Petaling BC dan Puchong United BC) adalah satu kejutan awal kami. Apapun selepas ini saya perlu terus bersedia kerana pasukan lain pastinya akan menyediakan pemain mantap menghadapi kami,”kata Khek Mong.

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung lebih awal tadi, Kepong BC juga berjaya meraih kemenangan selepas menewaskan Petaling BC 10-8 dalam perlawanan sengit di Gem In Mall.