Kudrat Boonsak Masih Mampu Hadirkan Kemenangan Buat Tebrau City BC

CYBERJAYA (27 Disember 2018): Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana, 36, puas setelah dapat membantu pasukannya, Kelab Badminton (BC) Tebrau City mengatasi Bandar Maharani BC 13-8 dalam aksi ketiga SS Purple League (SSPL) di Gem In Mall, tadi.

Lebih manis, kemenangan yang dicapai Tebrau City BC malam ini adalah kemenangan sulung setelah mengharungi tiga perlawanan dalam saingan SSPL musim ini.

Boonsak berkata, “Saya gembira dapat pulang beraksi dalam Purple League kerana melihat perkembangan yang baik dilalui oleh liga ini. Mungkin sedikit masa lagi, liga ini akan menjadi semakin dikenali,” katanya.

“Apapun, saya terpaksa beraksi dalam beregu lelaki berbanding dulu. Kemampuan saya kini mungkin sedikit terbatas dan tidak selaju dulu. Anda boleh melihatnya ketika kami tewas dalam set pertama tadi.”

“Saya puas dapat menyumbangkan mata buat Tebrau City BC. Pasangan saya tadi (Peeranat) adalah pemain yang memiliki gaya permainan serasi dengan rentak saya. Harap dapat membantu pasukan hingga mara ke pusingan akhir SSPL di Genting nanti,” tambah Boonsak yang beraksi bersama Nusajaya BC ketika 2015/16.

Dalam aksi tadi, Bandar Maharani BC terlebih dulu memberi amaran awal dalam acara perseorangan lelaki selepas pemainnya, Teh Jia Heng menang 3-2 (11-8 6-11 10-11 11-3 11-5) ke atas pemain Tebrau City BC, Ye Binghong.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama setelah pemain perseorangan wanita Tebrau City BC yang juga pemain kebangsaan, Lee Ying Ying pantas memadam kelebihan Bandar Maharani BC. Dia mengalahkan pemain muda berbakat dari Thailand, Chasinee Korepap dengan keputusan 3-1 (11-7, 11-3, 8-11, 11-10).

Tebrau City sekali lagi berjaya mendapatkan kemenangan dalam acara beregu lelaki. Boonsak Ponsana yang bergandingan dengan Peeranat Boontun menang 3-1 (6-11, 11-9, 11-2, 11-6) mengatasi Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani. Keputusan itu meletakkan Tebrau City BC mendahului Bandar Maharani BC 8-5.

Selepas itu, beregu campuran Bandar Maharani BC, Wong Tien Ci- Yap pula merapatkan kedudukan setelah mereka menang 3-2 (11-8 4-11 8-11 11-10 11-7) menewaskan gandingan Tebrau City BC, Rusydina Antardayu- Tan Wee Gieen.

Kemenangan yang dicari Tebrau City BC akhirnya disahkan oleh Satheishtharan Ramachandran dalam satu lagi acara perseorangan lelaki apabila dia menang bergaya 3-0 (11-8, 11-3, 11-2) ke atas Soo Teck Zhi sekaligus membatu pasukannya meraih kemenangan.

Dalam aksi di sebelah petang tadi, Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) membuktikan status selaku pasukan baru bukan masalah besar buat mereka. Pasukan itu mengukir kemenangan kedua musim ini setelah menang 12-5 ke atas Serdang BC. Dalam dua aksi awal, BMASBC menang 10-8 mengatasi Bandar Maharani BC dan tewas sekali 5-15 kepada juara bertahan, Puchong United BC.