Pasukan Congak Strategi Menjelang Pusingan Akhir SSPL 2018/19 Bawa Masuk Pemain Baru Perkuatkan Pasukan Masing-Masing

GENTING HIGHLANDS (23 Januari 2019): Pintu perpindahan pemain yang dibuka semula sehingga 15 Januari lalu memberikan peluang untuk semua enam pasukan membawa masuk pemain-pemain baru bagi memantapkan pasukan menjelang pusingan akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19 di Arena Of Stars, Resorts World Genting pada 24-27 Januari ini.

Pemenang pusingan pertama SSPL musim ini, Ampang Jaya BC tidak melakukan perubahan drastik namun mereka berjaya mengikat pemain perseorangan wanita Thailand, Pornpawee Chochuwong untuk bersama pasukan.

Pengurus Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong berkata, “Ini adalah kejutan juga dengan membawa masuk Pornpawee ke dalam pasukan. Tapi kami tetap mengharapkan sentuhan Goh Jin Wei yang berada pada prestasi terbaik ketika ini.

“Cuma pertindihan jadual pusingan akhir SSPL dan Indonesia Masters memerlukan kita bersedia. Apapun saya tidak risau kerana bukan kami sahaja sebaliknya semua pasukan akan menghadapinya sebagai cabaran,”kata Khek Mong

“Dengan persediaan jangka masa panjang, saya harap kemenangan akan diteruskan dalam pusingan akhir SSPL. Saya yakin pemain mampu melakukannya untuk memburu kejuaraan sulung dalam SSPL,”tambah Khek Mong.

Ampang Jaya BC dengan rekod tanpa kalah musim ini sudah memiliki nama-nama besar dalam pasukan. Antaranya adalah pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota, Lee Zii Jia, Chan Peng Soon, Brice Leverdez dan banyak lagi.

Sementara bagi Ketua Jurulatih Petaling BC, Ismail Saman, kemasukan pemain baru ke dalam pasukannya adalah berdasarkan persembahan pasukan itu semasa di pusingan pertama SSPL sebelum ini.

Ismail berkata, “Kemasukan ini adalah perancangan kita untuk memperkuatkan lagi pasukan. Ini adalah pelan kita untuk mengatasi kelemahan yang ada dan kita harus memperbaikinya.”

“Apapun, paling penting adalah pemain perlu fokus. Lawan kita di suku akhir nanti adalah Tebrau City BC, dalam kertas memang nampak mudah kerana kita pernah menang ke atas mereka sebelum ini,” katanya.

“Tapi mereka mungkin akan memberi saingan sengit kerana ini adalah peringkat kalah mati. Jangan dibuai dengan kemenangan lalu yang hanyalah sejarah,”tambah Ismail.

Antara nama baru yang dibawa masuk oleh Petaling BC adalah Jan O’ Jorgensen (Denmark), Chong Wei Feng (Malaysia), Yip Pui Yin (Hong Kong), dan Bodin Isara (Thailand).

Juara musim lalu, Puchong United BC juga menambah lagi kekuatan pasukan dengan beberapa nama baru seperti Lin Guipu (China), Kim Sa Rang (Korea), dan Eom Hye Won (Korea).

Persiapan naib juara musim lalu, Kepong BC bagi mengulangi kejutan juga dilihat sangat menarik dengan kemasukan pemain seperti Mads Conrad Petersen (Denmark) yang merupakan pemain beregu lelaki ranking ke-15 dunia, Ricky Karandsuwardi serta Rian Agung Saputro (Indonesia).

Dua lagi pasukan iaitu Tebrau City BC dan Serdang BC juga turut membawa masuk tenaga baru. Tebrau City BC membawa masuk pemain perseorangan lelaki dari Thailand, Adulrach Numkul manakala Serdang BC terus berani mendedahkan pemain muda tempatan. Kali ini mereka membawa masuk Mohd Syazmil Idham Zainal Abidin untuk bersaing dalam pusingan akhir SSPL.

Pusingan akhir SSPL akan berlangsung di Resorts World Genting pada 24-27 Januari 2019. Tiket untuk menyaksikan SSPL boleh didapati di venue perlawanan dan juga menerusi laman sesawang rasmi https://www.purpleleague.com/ . Bagi pusingan akhir SSPL, tiket dijual pada harga RM 55 dan RM65 untuk orang dewasa manakala RM30 bagi kanak-kanak.