SSPL 2018/19: Puchong United BC, Bukit Mertajam All Stars BC dan Kepong BC Raih Kemenangan Dalam Aksi Sulung

CYBERJAYA (22 Disember 2018): Kelab Badminton (BC) Puchong United, Bukit Mertajam All Stars BC dan Kepong BC cemerlang apabila mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam perlawanan pertama mereka dalam SS Purple League (SSPL) 2018/19 di Gem In Mall hari ini.

Menambah sengat pasukan dengan kemasukan pemain berpengalaman, Goh Giap Chin bersama mereka musim ini, Puchong United BC yang juga juara bertahan SSPL menumpaskan lawan, Tebrau City BC dengan keputusan 13-8 petang tadi.

Dalam acara perseorangan lelaki yang pertama, Goh Giap Chin yang berpindah dari Petaling Jaya BC ke Puchong United tidak menghampakan pasukan barunya apabila berjaya menang. Dia mengatasi pemain Tebrau City BC dari China, Ye Binghong 3-1 (11-6, 9-11, 11-10, 11-10).

Giap Chin yang ditemui selepas perlawanan berkata, dia gembira dapat membantu pasukan barunya mendapatkan mata meskipun dia mempunyai kekangan masa untuk melakukan persiapan rapi.

Dia berkata, “Saya sangat gementar kerana saya hanya mempunyai tiga hari untuk melakukan persediaan dan pada hari keempat iaitu hari ini saya sudah turun menghadapi lawan yang hebat.”

"Binghong bukanlah calang-calang pemain. Dia adalah bintang meningkat naik dalam pasukan badminton China. Dia pernah mengejutkan Tommy Sugiarto (Indonesia) dan membawa Chen Long untuk beraksi dalam tiga set dalam perlawanan sebelum ini. Apapun saya gembira dengan sokongan rakan sepasukan Puchong United untuk saya menang hari ini,”kata Giap Chin.

Selepas itu dalam acara perseorangan wanita, Ho Yen Mei terus mengutip mata kemenangan buat Puchong United BC. Dia bersaing sengit sebelum menundukkan pemain muda, Lee Ying Ying dengan keputusan tipis 3-2 (8-11, 11-7, 11-5, 9-11, 2-1) dalam 30 minit format pertarungan.

Kedudukan Puchong United BC semakin kukuh apabila gandingan beregu lelaki, Tan Boon Heong- Teo Ee Yi mengatasi pasangan Tebrau City BC, Lim Zhen Ting- Ng Eng Cheong dengan keputusan 3-2 (10-11 11-4 11-7 10-11 7-3) melebarkan pungutan mata kepada 9-5.

Namun begitu, Puchong United BC menerima tamparan apabila beregu campuran, Lim Khim Wah- Ng Tsz Yau tumpas 1-3 (8-11 11-9 6-11 9-11) kepada pasangan Tebrau City, Low Hang Yee- Soong Fie Choo.

Satu lagi aksi perseorangan lelaki, Lee Cheuk Yiu mempamerkan aksi menyakinkan buat Puchong United BC untuk mengatasi lawannya, Fikri Ihsandi Hadmadi 3-0 (11-9, 11-6, 11-5) sekaligus mengesahkan kemenangan yang juga tonik awal milik juara bertahan SSPL itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung tengah hari tadi, pendatang baru, Bukit Mertajam All Stars BC turut memulakan saingan dengan positif apabila berjaya menewaskan satu lagi pasukan baru SSPL, Bandar Maharani BC dengan keputusan 10-8.

Satu lagi pertemuan di sebelah malam menyaksikan kem Kepong BC juga ceria memulakan saingan SSPL musim ini setelah mereka menang 15-6 mengatasi Serdang BC.