Ampang Jaya BC sedia rampas Kejuaraan ACPLJ 2019

Pemain Ampang Jaya BC dalam SSPL 2018

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Setelah terlepas gelaran Juara Divisyen 1 Purple League Junior (PLJ) 2018 dengan kekalahan mengejut kepada Bukit Cheras BC, pasukan Ampang Jaya BC mahu mengubati kekecewaan itu pada musim ini.

Ampang Jaya BC yang terpaksa berpuas hati selaku naib juara selepas hanya meraih 1398 – 1105 mata, berbanding Bukit Cheras BC yang meraih 1404 – 1085 mata pada saingan tahun lepas, mengintai untuk merampas gelaran itu pada saingan tahun ini, yang bakal membuka tirai pada hujung minggu ini.

Jurulatih pasukan, Hendra Aprida Gunawan berkata kesemua pemain Ampang Jaya BC sudah bersedia untuk cabaran tahun ini, selepas mempelajari dari segala kesilapan mereka pada musim lepas.

“Pada tahun lalu, kami gagal untuk mengumpul seberapa banyak mata sehingga menyebabkan kami tewas di tangan Bukit Cheras BC, tetapi untuk kali ini kami tidak akan membiarkan situasi ini berulang lagi. Para pemain sudah bersedia untuk melakar kejayaan.

Kami mengharapkan pasukan beregu campuran dan beregu lelaki untuk memenangi kesemua perlawanan mereka dan kami akan menyusun strategi yang terbaik untuk perlawanan tersebut,” katanya menerusi kenyataan daripada pihak penganjur.

Sementara itu, Bukit Cheras BC dilihat bersedia untuk mempertahankan kejuaraan dan dijangka tidak akan berdepan sebarang masalah untuk berhadapan dengan beberapa pasukan baharu seperti Amanjaya BC dan Kuantan Synergy BC.

Pemain Ampang Jaya BC Shevon Jamie Lai and Chan Peng Soon dalam SSPL 2018

Bagaimanapun, pasukan-pasukan seperti Ampang Jaya BC, Kepong BC dan Bandar Maharani BC juga mampu membuat kejutan, lalu menjadi pencabar utama bagi menjulang kejuaraan divisyen utama itu.

Beberapa pemain Akademi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seperti Rayner Beh Chun Meng, Ching Kai Feng dan Yap Roy King serta pasangan kembar dari Rawang BC, Chew Jia Wern-Chew Jia Hui dijangka mencuri tumpuan pada musim ini.

Saingan Divisyen 2 pula bakal menyaksikan pertarungan antara Ayer Itam BC dan Tebrau City BC untuk meraih tempat ke divisyen utama, apabila kedua-dua pasukan terlepas peluang pada musim lepas.

Aksi Divisyen 1 dan 2 dijadualkan bermula pada hujung minggu ini di Sports Arena Falim, Ipoh manakala pusingan kedua pula berlangsung di Challenger Sports Centre, Ampang pada 5 dan 6 Okt, diikuti pusingan terakhir pada 19 dan 20 Okt di Sports Arena Sentosa.

— Sourced from BERNAMA

Start a Conversation

Your email address will not be published. Required fields are marked *