Jia Jie rangkul kejuaraan perseorangan lelaki B18 tahun di ACPLJ 2020

Pemain Ampang Jaya BC Tan Jia Jie menghampiri impiannya untuk muncul sebagai pemain kebangsaan setelah merangkul kejuaraan Bawah 18-tahun kejohanan AEON Credit Purple League Junior 2020 (ACPLJ 2020).

Pemain kelahiran Jalan Klang Lama menundukkan Muhammad Ariffin Nazri Md Zakaria dari Cheras BC 11-9, 10-11, 11-9, 11-8 di Arena Sukan Sixbase di Kampar, semalam.

Jia Jie berkata dia tidak sabar untuk menyertai kem latihan intensif kendalian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang merupakan ganjaran kemenangan disamping wang tunai RM1000 dan medal kejuaraan.

Pemain tinggi lampai itu berkata dia bersyukur dengan penganjuran ACPLJ 2020 yang memberikan pemain muda pentas untuk menunjukkan bakat mereka.

“Saya telah bermain dengan baik untuk menewaskan Ariffin, dia tampak agak letih dan latihan saya untuk meningkatkan tahap stamina saya berkesan pada perlawanan ini. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan berasa tidak sabar untuk menyertai latihan intensif bersama BAM,” katanya.

“Saya sepatutnya boleh beraksi dengan lebih baik di final tetapi lawan juga seorang pemain yang baik dan dia telah memberi saingan yang sengit kepada saya… saya berjaya mengekalkan rentak saya untuk meraih kemenangan pada akhirnya.”

“Saya nak melihat dan belajar dari pemain-pemain handalan di BAM seperti Lee Zii Jia ketika di kem latihan bersama BAM dan saya berharap dapat meningkatkan prestasi saya dan dapay bermain untuk negara suatu hari nanti.”

Kategori wanita Bawah 18-tahun, pemain bukan pilihan Wong Ling Ching dari Butterworth BC meraih gelaran setelah mengungguli pilihan kedua Tan Yan Yi dari Serdang BC 11-3, 11-2, 11-4.

Ling Ching juga mencatat kemenangan kedua peribadi setelah bergandingan dengan Teoh Le Xuan untuk memenangi beregu wanita Bawah-18 tahun selepas menundukkan pasangan Bayan Lepas BC Amanda Yap Hwa Leng-Tan Xin Zon 11-5, 11-9, 11-7.

Ling Ching membawa pulang wang hadiah RM1000 dan medal kejuaraan sebagai ganjaran memenangi acara perseorangan, berkongsi RM1500 dengan pasangan beregunya Le Xuan dan juga peluang menyertai kem latihan intensif BAM.

Ling Ching berkata dia berasa lega dan gembira selepas mencapai sasarannya untuk memenangi kedua-dua final.

“Saya telah bermain dengan baik pada kejohanan ini dan saya berasa gembira dengan kemenangan ini kerana sudah agak lama semenjak saya beraksi di kejohanan disebabkan Covid-19,” kata pemain kelahiran Sarawak itu yang hanya berlatih dengan Le Xuan selama beberapa hari sebelum kejohanan.

“Saya berpindah dari Sarawak ke Pulau Pinang enam bulan lalu untuk mendapatkan latihan yang lebih baik dan ini adalah pertandingan pertama bagi saya setelah berpindah dan saya berasa amat puas selepas bergelar juara.”

Pasangannya Ling Ching, Le Xuan berkata, gandingan mereka menjadi kerana mereka mempunyai asas permainan yang baik.

“Saya rasa kami berjaya walaupun hanya berlatih selama dua atau tiga hari sahaja. Kami berdua pernah menjadi pelatih BAM sebelum ini, jadi asas kami baik dan kami berjaya membentuk persefahaman yang mantap untuk bergelar juara.”

Butterworth BC muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan dan pulang dengan wang tunai RM10,000 dan trofi kejuaraan, sementara itu Perling BC yang dinobatkan sebagai naib juara dan meraih hadiah wang tunai RM5000.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League (MPL) Ho Khek Mong berasa kagum dengan semangat juang para pemain dan berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh para penaja.

“Saya gembira melihat pemain kembali ke gelanggang setelah selepas rehat panjang berpunca dari Covid-19, nampaknya ada pemain-pemain yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kejohanan, tetapi ramai yang lain membuktikan bahawa Covid-19 tidak mampu melunturkan semangat juang mereka,” katanya.

“Sepanjang acara ini, kami telah melihat ramai pemain berbakat menunjukkan kematangan dan kemahiran yang jauh melebihi usia mereka. Saya rasa mereka bersemangat dan gembira untuk kembali bersaing.”

“Walaupun Kampar masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kami memastikan kejohanan berlangsung tanpa penonton dan peserta antarabangsa, SOP ketat dipatuhi kerana kami mahu melahirkan juara badminton seterusnya melalui platform kami.”

“Kami sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh para penaja dan amat berterima kasih kepada mereka, terutamanya penaja utama – Purple League Junior Aeon Credit kerana terus memberi sokongan dalam penganjurkan APLJ.

“Kami akan terus bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mencungkil bakat baru dan untuk makluman, juara kategori Bawah 18-tahun akan menerima jemputan untuk menghadiri kem latihan intensif kendalian BAM.

KEPUTUSAN 

Perseorangan Lelaki Bawah 18-tahun: Tan Jia Jie (Ampang Jaya BC) bt Muhammad Ariffin Nazri Md Zakaria (Cheras BC) 11-9 10-11 11-9 11-8

Beregu lelaki Bawah 18-tahun: Kenny Khew Han Yang-Mohamad Haris Sufian Rushdan (Rawang BC) bt Muhammad Ariffin Nazri -Muhammad Ashraf Md Zakaria (Cheras BC) 11-8 10-11 11-8 11-9.

Beregu campuran Bawah 18-Tahun: Chong Ee Jack-Chew Jia Hui (Ampang Jaya BC) bt Teo Jie Sern -Isabel Liau Bei Yi (AKSC) 11-10 11-5 11-9

Perseorangan lelaki Bawah 15-tahun: Sng Wei Ming (Butterworth BC) bt Huan Kai Hern (Subang Jaya BC) 11-10 11-4 11-10

Beregu Lelaki Bawah 15-tahun: Aguwell Andrew-Carlester Cleve James (DSBC Labuan) bt Gerard Liau Jia Yit-Goh Shao Tang (AKSC) 11-9 9-11 11-5 11-7.

Beregu campuran Bawah 15-tahun: Amirul Imran Bin Azuan – Dania Sofea Binti Zaidi (Perling BC) bt (Subang Jaya BC) Huan Kai Hern-Wong Zi Yi 11-6 11-6 11-10

Perseorangan wanita Bawah 18-tahun: Wong Ling Ching (Butterworth BC) bt Tan Yan Yi (Serdang BC) 11-3 11-2 11-4

Beregu wanita Bawah 18- tahun: Teoh Lexuan-Wong Ling Ching (Butterworth BC) bt Amanda Yap Hwa Leng-Tan Xin Zon (Bayan Lepas BC) 11-5 11-9 11-7.

Perseorangan wanita Bawah 15-tahun: Dania Sofea Zaidi (Perling BC) bt Lim Zhi Shin (Bayan Lepas BC) 11-6, 5-11 11-8 11-3

Beregu wanita Bawah 15-tahun: Shaneessa Shahidi-Vannee Gobi (Damansara BC) bt Alysha Jeffery- Nicole Chau Xuan (PGBC) 11-7 11-4 11-4

Pertandingan Purple League Junior (PLJ) yang diadakan setiap tahun ini telah memasuki tahun keenam penganjurannya.

Tujuannya adalah untuk mencari dan mencungkil bakat muda baru dan menyediakan platform bagi pemain-pemain untuk mempamerkan bakat mereka, mendapatkan
pengalaman yang kompetitif, dan membina keyakinan diri dalam sukan badminton.

AEON Credit Service (M) Berhad telah bergabung sebagai penaja utama bagi Purple League Junior selama tiga tahun sejak 2019 sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya dalam membangunkan bakat tempatan.

Start a Conversation