Kuantan Synergy BC Cipta Kejutan di ACPLJ 2019

Aksi beregu perempuan Kuantan Synergy, Hsu Yin Hui-Sung Yi Hsuan dari Taiwan dalam pertemuan Divisyen Satu ACPLJ2019 menentang Ampang Jaya BC. ©purpleleague

IPOH, 22SEPTEMBER : Pendatang baru, kelab badminton Kuantan Synergy (KSBC) mencipta kejutan apabila mengungguli pusingan pertama Divisyen Satu Purple League Junior (ACPLJ) 2019 yang berlangsung pada hujung minggu ini di Sports Arena Falim, Ipoh hari ini.

Mengekori di belakang adalah Kepong BC dengan KSBC yang mengutip (571-479) mata set selepas memenangi kesemua tiga perlawanan mereka manakala Kepong BC mengumpul (589-537) mata set selepas meraih dua kemenangan.

KSBC yang dinaikkan daripada Divisyen Dua selepas muncul naib juara kategori tersebut musim lalu, bermula garang dengan merekodkan dua kemenangan ke atas Petaling BC (12-8) dan juara Divisyen Dua, Amanjaya BC (13-6).

Pemain pemain Kuantan Synergy BC, bersama jurulatih Azman Amman

Skuad bimbingan ketua jurulatih, Azman Amman itu meletakkan diri mereka sebagai pasukan pilihan musim ini apabila menundukkan naib juara musim lalu, Ampang Jaya BC (13-6).

KSBC meletakkan diri pada landasan kejayaan menerusi dua kemenangan mutlak 3-0 yang diraih Muhd Nurfirdaus Azman dalam perseorangan lelaki dan beregu perempuan dari Taiwan, Hsu Yin Hui-Sung Yi Hsuan.

AJBC kemudian menunjukkan tanda-tanda kebangkitan apabila pasangan beregu campuran mereka, Ling Wei Jie-Odelia Wong Qiao Shi menundukkan Eng Chun Yu-Siti Zulaikha 3-1 tetapi ia sekadar menangguhkan kemenangan buat pendatang baru itu yang dimuktamadkan oleh pemain Taiwan, Tu Chia Wei dalam perseorangan wanita apabila menundukkan  Ong Xin Yee 3-1 daripada AJBC.

Mata terakhir KSBC disumbangkan oleh beregu lelaki, Kang Khai Chien-Muhd Afiq Fahmi Mohd Azlan yang mengecewakan pasangan Singapura, Junsuke Kubo-Eng Keat Koh (3-2).

Tatkala saingan dijangka didominasi juara bertahan Bukit Cheras BC dan naib juara, Ampang Jaya BC, keadaan sebaliknya berlaku apabila KSBC dan Kepong BC mengisi dua tempat teratas selepas berakhirnya pusingan pembukaan.

Pemain Lelaki Beregu Ampang Jaya BC

“Ikutkan nama dan reputasi, pasukan kami sebenarnya tidak diletakkan harapan tinggi tetapi berbekalkan dengan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan, kami mampu menewaskan pasukan yang lebih gah dan ternama,” kata Azman yang ditemui selepas aksi pasukannya menentang Ampang.

“Saya berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan mereka dan berharap mereka dapat meneruskannya pada aksi seterusnya di pusingan kedua,” tambahnya.

Di dalam Divisyen Dua, Ayer Itam BC dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mengecapi slot ke Divisyen Satu musim depan selepas menamatkan hujung minggu ini masing-masing di tempat pertama dan kedua.

Aksi Divisyen 1 & 2 akan bersambung di Challenger Sports Centre, Ampang pada 5 & 6 Oktober sebelum melabuhkan tirai pada 19 & 20 Oktober nanti di Sports Arena Sentosa.

https://youtu.be/jDJdK9Z9AXk

Sourced from: Sukan Malaysia

Start a Conversation

Your email address will not be published. Required fields are marked *